HUBUNGKAIT DI ANTARA FALSAFAH, DASAR DAN SISTEM PENDIDIKAN DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

 





FALSAFAH PENDIDIKAN
  • Suatu proses yang mempunyai dua hujung yang saling berkait iaitu mendidik dan pendidik.
  • Pendidik mempunyai falsafah yang tersendiri melaksanakan proses mendidik untuk mencari kebenaran, kenyataan dan kebijaksanaan untuk disampaikan kepada yang dididik.

DASAR PENDIDIKAN
  • Merupakan formulasi idea-idea sebagai suatu garis panduan untuk tindakan.
  • Pelaksanaannya melibatkan aspek perundangan yang disahkan.
  • Contoh : Dasar Satu Murid Satu Sukan, Dasar Pendidikan Percuma.

SISTEM PENDIDIKAN
  • Mengandungi banyak subsistem/komponen yang saling berinteraksi.
  • Sistem pendidikan berjaya apabila kesemua komponen saling bergabung dan menyokong antara satu sama lain.
  • Sistem yang sedang bergerak tidak boleh diganggu kerana akan menyebabkan kerosakan dan kemusnahan.
  • Sistem pendidikan sentiasa diberi perhatian dan ditambah baik agar sentiasa dapat bergerak lancar untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.




ISU SEMASA 


ISU SEMASA



Falsafah merupakan hasil pemikiran yang mempertimbangkan pelbagai soalan dan dari pelbagai sudut serta melihat gambaran besar yang menyentuh persoalan itu. Sebagai contoh, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kemudiannya, daripada falsafah, dasar digubal. Dasar merupakan formulasi idea-idea sebagai panduan untuk tindakan contohnya Dasar Pendidikan Percuma, Dasar Satu Murid Satu Sukan dan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Apabila suatu dasar itu telah termaktub, maka sistem akan didirikan untuk melaksanakan dasar dan falsafah pendidikan tersebut seperti pendidikan peringkat pra sekolah, peringkat rendah dan menengah serta pendidikan peringkat tinggi seperti Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Sesuatu sistem memiliki komponen yang kompleks dan rumit dan pelaksanaannya dianggap berjaya apabila semua komponen saling bergabung dan menyokong antara satu sama lain. Walaupun masing-masing memiliki fungsi yang berbeza. Falsafah, dasar dan sistem pendidikan ini saling berkaitan ke arah pelaksanaan pendidikan yang sempurna dan mencapai matlamat yang dihasratkan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan teras pembentukan pendidikan di Malaysia yang bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Dasar dan sistem pendidikan yang digubal adalah berdasarkan falsafah pendidikan. Hal ini seperti apabila kita ingin memiliki dan membina sebuah rumah yang cantik dan berfungsi, kita memerlukan sebuah pelan sebagai panduan untuk melaksanakannya. 

Namun, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, sektor pendidikan adalah antara sektor yang menerima impak yang sangat besar. Melihat pada keadaan semasa pandemik Covid-19 ini, sistem pendidikan telah banyak mengalami perubahan di mana proses pengajaran dan pembelajaran sudah tidak dapat dijalankan secara bersemuka seperti kebiasaan sebelum pandemik melanda seluruh dunia. Oleh itu, pelaksanaan sistem pendidikan di negara ini terpaksa diubah di mana proses pengajaran dan pembelajaran terpaksa dijalankan secara atas talian serta para guru dan pelajar perlu berhubung secara alam maya menerusi aplikasi Google Meet, Zoom, Telegram, Google Classroom dan sebagainya. Akan tetapi, perkara ini telah menimbulkan kegelisahan ramai pihak terutamanya golongan B40 yang tidak berkemampuan untuk menyediakan kemudahan peralatan elektronik iaitu komputer riba, telefon pintar dan tablet serta kemudahan data internet kepada anak-anak mereka serta masyarakat di luar bandar dan di kawasan pedalaman yang mana capaian internetnya adalah sangat terhad atau tiada.

 Namun begitu, bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia telah bekerjasama dengan pihak penyiaran tempatan seperti Astro Tutor TV dan  Media Prima Berhad menerusi saluran ntv7 iaitu DidikTV KPM. Pihak kerajaan turut memperuntukkan dana khas kewangan untuk bantuan telefon pintar percuma dan data internet percuma kepada murid-murid daripada keluarga yang tidak berkemampuan untuk kegunaan pembelajaran. Dengan ini, semua pelajar tidak akan ketinggalan dalam pembelajaran. Guru juga perlu memberi tugasan, menilai tugasan, memantau perkembangan dan membantu para pelajar secara atas talian. Pelbagai aktiviti juga dilaksanakan secara maya seperti kuiz dan acara larian. 

Sebagai kesimpulan, perkembangan pendidikan yang berlaku di sesebuah negara khususnya di Malaysia amat dipengaruhi oleh falsafah yang menjadi teras dalam perancangan dan pelaksanaan pendidikan di negara ini yang menjelmakan idea besar atau kerangka pemikiran mengenai pendidikan yang ingin dijelmakan. Kemudian, falsafah disokong oleh dasar dan diterjemahkan melalui sistem pendidikan bagi memastikan hasrat falsafah pendidikan menjadi kenyataan. Walaupun negara dilanda pelbagai cabaran dan musibah sehingga menjejaskan sistem pendidikan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah mencari dan menggunakan alternatif pendidikan yang berbeza mengikut norma baharu di negara ini agar hasrat falsafah pendidikan dapat dicapai dan seterusnya pendidikan di Malaysia dapat berkembang dengan lebih pesat.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengenalan

PENGENALAN