IMPAK PEMBANGUNAN NEGARA TERHADAP KEMAJUAN PENDIDIKAN

 

Pembangunan Negara:

Pembangunan mempunyai pelbagai maksud dan dimensi. Biasanya pembangunan merujuk kepada usaha mengubah masyarakat atau negara daripada keadaan mundur kepada maju. Perubahan yang dimaksudkan meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti ekonomi, politik, sosial, pendidikan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, perubahan ini juga merujuk kepada aspek fizikal, kebendaan dan bukan kebendaan.

Secara keseluruhannya pembangunan yang seimbang menjadi matlamat utama negara. Selepas kemerdekaan, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa rancangan pembangunan negara untuk mengatasi segala masalah sosioekonomi dan politik yang dihadapi oleh masyarakat Tanah Melayu kesan peninggalan dasar-dasar yang diamalkan oleh British.

 

Kemajuan Pendidikan:

Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat negara adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center of academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini. Ia memerlukan negara untuk meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperoleh status "World Class Education".

Kemajuan pendidikan menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis. Pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kreadibiliti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa dan dunia. Dilihat dari persepektif yang luas, 'Pendidikan Bertaraf Dunia' bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan

 

Impak pembangunan negara terhadap kemajuan pendidikan

 


1.  Perubahan Corak Pengajaran Dan Pembelajaran

Pembangunan negara yang terancang dan semakin moden telah mengubah corak pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Jika dahulu, guru-guru hanya berpandukan buku teks sahaja sebagai bahan mengajar tetapi kini bahan pembelajaran telah berkembang dan tidak tertumpu hanya kepada buku teks sahaja. Pada masa kini, teknik pembelajaran yang digunakan oleh guru-guru adalah berasaskan teknologi maklumat iaitu internet. Perkembangan dunia tanpa sempadan telah mengubah teknik pengajaran dan pembelajaran. Selaras dengan perkembangan pembangunan negara, guru-guru seharusnya lebih mahir menggunakan teknologi maklumat bagi mengajar murid-murid seperti menggunakan slide, kahoot dan sebagainya bagi menarik perhatian para pelajar untuk lebih menumpukan perhatian di dalam kelas.



Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia menyebabkan proses pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka terpaksa di hentikan. Penggunaan ICT di dalam pendidikan dilihat sebagai suatu yang tepat terutamanya semasa pasca Covid-19. Proses pembelajaran dan pengajaran masih tetap di teruskan oleh kerajaan kerana kemampuan negara Malaysia bagi mempraktikkan pembelajaran secara atas talian seperti penggunaan Google Meet, Zoom serta penggunakan peralatan elektronik yang canggih di dalam sesi pembelajaran seperti telefon pintar dan komputer riba. Kaedah pembelajaran jarak jauh atau pun pembelajaran secara atas talian telah dipraktikkan oleh guru-guru dan murid-murid bagi menghentikan penyebaran virus Covid-19 ini. Merujuk kepada keratan akhbar di atas, pandemik covid 19 telah mengubah arus pendidikan negara. Jika dahulu pendidikan hanya dijalankan secara bersemuka sahaja di sekolah. Namun dengan berlakunya keadaan tersebut, pendidikan negara terus berkembang dengan penggunaan pelbagai kaedah bagi meneruskan pendidikan kepada para pelajar termasuklah menerusi platform atas talian, televisyen, radio dan sebagainya. Pandemik covid 19 juga telah memberi cabaran baharu kepada guru-guru untuk lebih mahir menggunakan ICT bagi meneruskan sesi pembelajaran. Kemunculan pusat-pusat tuisyen seperti MC Plus mampu memberi manfaat kepada para pelajar untuk meneruskan sesi pembelajaran. Kerjasama antara kerajaan dengan Media Prima telah menghasilkan DidikTV yang mampu membantu murid-murid memahami subjek yang mereka pelajari semasa berada di rumah.

 

2. Peningkatan Prasarana Pendidikan

Pembangunan negara yang semakin berkembang telah menyumbang kepada kemajuan pendidikan negara. Pembangunan negara yang semakin pesat mampu memberi pelbagai manfaat kepada rakyat khususnya dari aspek pendidikan. Peningkatan prasarana pendidikan seperti sekolah, taska, perpustakaan, universiti, talian internet dan kemudahan pengangkutan di seluruh negara menyebabkan seluruh rakyat mampu untuk menikmati dan memperoleh pendidikan. Dengan adanya prasarana-prasarana pendidikan ini, ia bertepatan dengan prinsip kerajaan iaitu pendidikan untuk semua. Tiada istilah masyarakat tercicir daripada menerima pendidikan kerana terdapat pelbagai prasarana dan institusi pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan. Perkara ini dilakukan adalah untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Kerajaan amat menitikberatkan kemajuan pendidikan sehingga telah mewajibkan persekolahan selama 11 tahun kepada seluruh warganegara Malaysia. Justeru itu, pembangunan negara dilihat sebagai aspek penting dalam memastikan kemajuan pendidikan mampu di capai. Negara-negara maju seperti Singapura, Amerika Syarikat dan England telah bergerak maju selangkah kehadapan daripada negara Malaysia kerana mereka mempunyai pelbagai prasarana pendidikan yang maju serta moden. Usaha-usaha yang negara-negara maju lakukan telah menyebabkan taraf pendidikan mereka lebih tinggi dan diakui sebagai pendidikan bertaraf dunia serta mampu melahirkan graduan-graduan profesional.

 

3. Kestabilan Politik

Tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan sesebuah negara adalah dicorakkan berdasarkan ideologi politik negara itu sendiri. Pembangunan negara yang semakin berkembang dapat dilihat melalui kestabilan politik. Kestabilan politik mampu untuk memajukan bidang pendidikan. Dalam hal ini, dasar-dasar dan perancangan pendidikan negara dibangunkan berasaskan kestabilan politik dan kepentingan kerajaan sesebuah negara. Kestabilan politik sesebuah negara akan memberi kesan yang positif terhadap kualiti sistem pendidikan negara. Kestabilan politik sesebuah negara mampu mempengaruhi kemajuan pendidikan kerana sesebuah negara yang stabil mampu untuk merangka pelbagai strategi bagi memajukan bidang pendidikan. Antara strategi yang boleh dilakukan adalah pengagihan peruntukan dan belanjawan kepada pendidikan, perancangan dasar-dasar yang mampu meningkatkan taraf pendidikan negara dan sebagainya.

 

4. Pertumbuhan Ekonomi



Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang amat menitikberatkan kepentingan pendidikan kepada seluruh masyarakat. Pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat saban tahun telah menyumbang kepada perkembangan pendidikan negara. Bantuan dan dana yang diberikan oleh kerajaan kepada pelajar dapat meringankan beban yang ditanggung oleh para pelajar agar belajar dengan lebih selesa. Pertumbuhan ekonomi yang mampan juga mampu untuk memberi pelbagai manfaat kepada pelajar seperti biasiswa, skim pinjaman buku teks dan rancangan makanan tambahan (RMT) kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan. Pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang di negara kita turut menyumbang kepada peningkatan infrastruktur dalam mengembangkan taraf pendidikan negara. Pelbagai kemudahan yang disediakan ini mampu untuk memberikan keselesaan kepada pelajar. Negara jiran kita iaitu Singapura mempunyai pendidikan bertaraf dunia kerana mereka mempunyai modal kewangan yang kukuh bagi memajukan bidang pendidikan. Penggunaan pelbagai gajet dan teknologi moden amat luas didalam sistem pendidikan mereka. Justeru itu, kita seharusnya mencontohi negara Singapura dalam memantapkan serta memajukan bidang pendidikan negara.

 

 

Kesimpulan:

Pembangunan negara dilihat sebagai aspek yang penting dalam memajukan pendidikan negara. Pembangunan negara yang semakin berkembang dan moden mampu untuk melahirkan lebih ramai tenaga pekerja professional yang mampu untuk memberi pelbagai manfaat kepada negara. Jika kita lihat negara jiran kita iaitu Singapura, taraf pendidikan mereka lebih maju dan moden jika dibandingkan dengan Malaysia kerana mereka mempunyai pembangunan yang lebih tersusun dan maju. Justeru itu, kita dapat menyimpulkan bahawa pembangunan negara mampu untuk memberi kesan yang positif terhadap pendidikan negara.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengenalan

PENGENALAN